MLM: YANG HALAL DAN YANG HARAM
Oleh: Ust. Ahmad Adnan Fadzil
(Dipetik dari blog Soal-Jawab
Agama:
http://ilmudanulamak.blogspot.com, kendalian Ust. Ahmad
Adnan Fadzil)
Soalan; Sekarang ini banyak jualan langsung
yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak
berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri
MLM yang haram pula?
Jawapan;
Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang
jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak
muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama
ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya
panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak
dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah.
Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya
dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada
kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan
kemukakannya secara ringkas.
Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam
hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli),
kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya
adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan
percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau
terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.
Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan
baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau
tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak
dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia
dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus. Secara umumnya,
perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi
prinsip-prinsip asas berikut;
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas
suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu
perkara-perkara yang diharamkannya.
Saling meredhai
Saling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati
dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa
tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni
ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai
ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman
(yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah
kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil,
kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling
meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).
Syarat-syarat bagi akad perniagaan
Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka
Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap
urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan
menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal. Di
antara syarat-syarat tersebut ialah;
1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz,
iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.
2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak
dipaksa melakukan akad.
3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah
diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan
juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.
4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai
dalam barang-barang yang haram)
5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi
syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.
6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi
sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli
yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata;
“Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula
berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.
Larangan-larangan Syarak dalam perniagaan
Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga
hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau
diharamkan oleh Syarak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi,
larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas
beberapa sebab iaitu;
a) Membantu kepada perbuatan maksiat
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad.
(Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm.
242)
Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam
urusan perniagaan ialah;
(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan
mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang
diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia,
maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam
sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.
(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran
iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang
terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para
fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah
batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah
s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (Riwayat Imam
Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah
s.a.w.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Antara contoh
penipuan ialah;
( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan
keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak
ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian
orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan
at-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga
yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli
terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya;
menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa
diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya;
menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan
sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan
(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah
melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan
kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar
(monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan
harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda
Rasulullah s.a.w.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang
berdosa” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan
Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)
Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan
akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya
mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih
dianggap sah.
Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara
umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada
perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan
perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian,
bonus dan harga barangan/produk.
Syarat-syarat yuran keahlian
Boleh dikatakan kesemua syarikat MLM menetapkan suatu kadar
yuran keahlian terhadap orang yang ingin menjadi ahli atau
pengedar bagi produk-produk keluarannya. Mengenakan yuran
keahlian tersebut diharuskan jika memenuhi syarat-syarat
berikut;
1. Yuran tersebut tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan dan
mengambil kesempatan dari peserta.
2. Yuran tersebut bertujuan untuk menyediakan maklumat dan
keterangan kepada peserta berkaitan urusan dan agenda yang akan
dijalankan oleh syarikat.
3. Yuran itu tidak mengikat peserta dengan mewajibkan
syarat-syarat yang zalim dan tidak bermoral, dalam erti kata
lain peserta boleh menarik diri dan dalam sesetengah hal duit
akan dikembalikan.
4. Yuran tersebut tidak mempengaruhi perlakuan akad yang
selanjutnya semasa berurus-niaga atau berjual-beli.
Syarat-syarat di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang
pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai
yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak
menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat
peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut
adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat;
Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).
Bonus
Dicadangkan pemberian bonus dilakukan dengan menepati konsep
al-Ji’alah di dalam Fiqh Islam. Al-Ji’alah bermaksud menjanjikan
suatu pemberian (komisyen) kepada orang yang melakukan suatu
kerja atau tugas tertentu yang sukar seperti seorang lelaki
berkata; “Sesiapa dapat mengembalikan untaku yang hilang,
baginya pemberian sebanyak RM 200” (Al-Majmu’, jil. 15, Bab
al-Ji’alah). Al-Ji’alah adalah akad yang diharuskan dengan dalil
al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah;
“Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja dan
sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan)
sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian
itu”. (Yusuf: 72)
Menurut ulamak, keharusan al-Ji'alah terikat dengan beberapa
syarat, antaranya;
1. Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang
memiliki keahlian untuk melakukan akad.
2. Hendaklah bayaran terdiri dari nilai harta yang diketahui.
3. Hendaklah manfaat yang diperolehi menerusi kegiatan ini
diketahui pada hakikatnya serta harus memanfaatkannya dari sudut
Syarak.(Wahbah az-Zuhaili, 4/787)
Jadi, supaya bonus dapat menepati konsep al-Ji'alah tersebut,
maka pemberian bonus oleh Syarikat MLM hendaklah berasaskan
kepada manfaat/kerja yang disumbangkan oleh para pengedar atau
orang terbabit dalam membantu syarikat. Nilai bonus yang
dijanjikan hendaklah dinyatakan dengan pasti oleh Syarikat
kepada para pengedarnya supaya ia menepati syarat yang kedua di
atas.
Berdasarkan pengalaman saya dalam Syarikat HPA Industri Sdn.
Bhd. (salah satu Syarikat Bumiputra Muslim yang giat menjalan
perniagaan secara MLM di Malaysia), bonus yang diberikan oleh
Syarikat HPA kepada pengedar-pengedarnya adalah sebagai
ganjaran/upah yang dijanjikan kerana sumbangan mereka dalam
melakukan perkara-perkara tersebut;
1. Memperkenalkan syarikat kepada orang ramai
2. Menaja ahli-ahli baru untuk syarikat
3. Membuat jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai.
4. Membimbing dan memimpin anak buah (downline) untuk membina
organisasi perniagaan yang kukuh. Ini terpaksa melalui proses
seperti pertemuan dari masa ke semasa untuk perbincangan,
perancangan, penerangan berkenaan produk dan perkembangan
terbaru syarikat.
Melihat kepada kerja/manfaat yang disumbangkan oleh para
pengedar seperti di atas, saya merasakan pemberian bonus oleh
Syarikat HPA menepati prinsip al-Ji'alah yang diharuskan oleh
Syarak tadi.
Meletakkan syarat untuk memperolehi Bonus
Menetapkan syarat tambahan -selain dari yang ditetapkan Syarak-
dalam mana-mana akad perniagaan dan harta adalah harus jika
syarat itu tidak melanggar hukum Syarak yang sedia termaktub dan
tidak terdapat sebarang penganiayaan dan pilih kasih. Keharusan
ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; "Orang-orang Islam
terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama menepati yang
hak (yakni hukum Allah)” (Riwayat al-Hakim dari Anas dan Aisyah
r.a.).
Oleh demikian, tindakan pihak syarikat menetapkan syarat
tertentu ke atas para pengedarnya untuk melayakkan mereka
memperolehi bonus -jika bonus tersebut dilakukan mengikut kaedah
al-Ji'alah di atas- tindakan tersebut adalah harus asalkan
syarat yang ditetapkan tidak bercanggah dengan mana-mana
ketetapan Syarak dan tidak bersifat pilih-kasih atau menganiayai
mana-mana orang.
Jauhi “Sistem Piramid”
Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana
kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada
di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya
berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan
daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian.
Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang
penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang
keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari
ahli-ahli baru. Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah; 1.
Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar
baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang
berlebihan.
2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap
peserta yang dapat menarik ahli baru.
3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di
antara syarikat dan pengedar.
4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan
wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para
pengedar.
5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.
6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja
direka-reka serta digembar-gemburkan.
(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)
Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus
bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penaajaan ahli baru
di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan
melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan
dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk
yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas
bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at
Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan,
pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn
fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan
perniagaan atau jual-beli.
Harga barangan/produk
Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar,
Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di
dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil
dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling
soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga
mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh
pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling
redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman
Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan
(gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu,
judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang
dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”.
(an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr.
Bakar Ismail, hlm. 108).
Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan
penetapan harga barang/produk;
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang
harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga
produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira
keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus
ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga
yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan
pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila
mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual
barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan
mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar
barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai
RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai
sebenarnya.
Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada
sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan
tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga
untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama
ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.
Wallahu A’lam.
Rujukan;
1. Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm.
242.
2. Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqaha’, Dr.
Nazih Hamad, ter. Al-Ma’had al-‘Alami Lil Fikri al-Islami,
Herndon, Virginia, U.S.A. (1993).
3. Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, ter. Al-Fath Lil ‘ilam
al-‘Arabi, Kaherah, Mesir (1411/1412H)
4. Al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabil Imam as-Syafi’ie, Dr. Mustafa
al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji, ter. Dar
al-Qalam, Damsyiq, Syiria (1991)
5. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, ter. Dar
al-Fikr, Damsyiq, Syria (1885)
6. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, ter. Dar
al-Manar, Mesir (1992).
7. Sistem Syarikat Jualan Lansung Di Malaysia Dari Perspektif
Mualamat Islam, Muhammad Hasan Zaid bin Ramli, UKM Bangi (2002).
8. Al-Majmu, ter. Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan (2000)
Lampiran 1
SYARAT-SYARAT MLM HALAL MENURUT UST
HJ ZAHARUDDIN HJ ABD RAHMAN
(Dipetik dari arikel beliau; “Isu
Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web;
www.zaharuddin.net)
1.
Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya
(seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan
dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya).
Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah
dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam
undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi
Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang
bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana
(modal).
2.
Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara
tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh
adalah Riba jenis Nasiah.
3.
Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan
ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha,
ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli
bawahan yang dibantunya sahaja.
4.
Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli
yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang
berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia
menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan
dan bukannya permainan wang (money game).
5.
Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi
memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.
6.
Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh
usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan
perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara
terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia
perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut
Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada
keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak
membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang
diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan
bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat,
kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak
mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang
kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen
yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.
7.
Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan
untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk
kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah
memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat
keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual
dengan lebih hebat.
8.
Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh
difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi
mengelakkan segala jenis penipuan.
9.
Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya
secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi
berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian
keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.
Lampiran 2
Keputusan
Majma Fiqh Sedunia ?
Kesatuan
Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke
atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan
sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian.
Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang
digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana
didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain
itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa
pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan
perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya
adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya,
dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan
demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada
syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat
bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan
semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan
anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus
yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam
waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak
menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian
murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:
Ø
Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi
tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi
mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar
yuran.
Ø
Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang
yang dibayarkan pada syarikat MLM.
Ø
Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara
berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang
berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline)
selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas
mereka.
(Dipetik dari arikel Us. Zaharuddin;
“Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web;
www.zaharuddin.net)
Lampiran 3
FATWA TENTANG MELETAKKAN SYARAT BAGI MENDAPAT KOMISYEN
Soalan; terdapat satu system jualan produk yang
diperkenalkan oleh beberapa syarikat yang diringkas seperti
berkut;
Syarikat menawarkan kepada orang yang berminat menjadi wakil/pengedarnya
untuk terlibat mempromosi barangan/produk keluarannya dengan
satu kadar komisyen tertentu (cthnya 10%) bagi setiap produk
yang dijual, namun syarikat meletakkan syarat komisyen tersebut
tidak akan diberikan melainkan wakil/pengedar melakukan jualan
dengan jumlah tententu yang ditetapkan Syarikat. Adakah ianya
harus?
Jawapan;
Polisi jualan tersebut adalah harus. Ia tidak lain merupakan
langkah Syarikat melakukan akad al-Ji’alah (pemberian bersyarat)
dengan pengedarnya sebagai imbalan mempromosikan jumlah tertentu
dari barangan/produk Syarikat. Jika ia berjaya melakukan jualan
dengan jumlah tersebut, berhaklah ia untuk mendapat komisyen
yang dijanjikan itu. Jika tidak, tidak berhaklah ia mendapatnya.
Masalah ini termasuk dalam bab al-Ji’alah (pemberian dengan
bersyarat). Sekalipun ada kemungkinan akan berlaku kepada wakil/pengedar
mereka berpenat saja tanpa imbalan apabila tidak berjaya
mencapai jumlah jualan yang ditetapkan itu, perkara tersebut
tidak akan menjejaskan keharusan mu’amalah tersebut. Ini kerana
telah sedia dimaklumi (dalam Fiqh) bahawa akad al-Ji’alah harus
berlaku padanya al-Jihalah dan al-Gharah (yakni ketidakpastian)
walaupun unsur tersebut tidak harus berlaku dalam al-Ijarah (akad
sewaan).
(Fatwa
dipetik dari buku Fiqh al-Mu’amalat al-Maliyah al-Muqaran,
tulisan Syeikh Dr. ‘Alauddin Za’tari,, hlm. 338, ter. Dar al-‘Ashma’,
Damsyiq, Syria, 2008. Penulis adalah pensyarah Fiqh dan Ekonomi
Islam di University Ummu Darman, Syria dan Kolej University
Islam di Lubnan. Beliau memiliki laman webnya sendiri;
www.alzatari.org).